Anak Peneman Abby Di Pagi Syawal

Anak Peneman Abby Di Pagi Syawal

TIADA apa yang menggembirakan hati seorang ibu dalam meraikan Syawal selain melihat anak-anaknya gembira dan berada di sisi.

Malah telatah dan kelibat anak-anak yang tersenyum di sebalik pakaian baru dan sampul hijau yang dikumpul membuatkan hatinya menjadi terhibur.

Itulah antara rasa yang dikongsi bersama oleh pemegang watak Inspektor Aleeza dalam drama bersiri Gerak Khas, Abby Abadi.

Baginya melihat Mohamed Danish Hakim 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3 , gembira di pagi syawal sudah cukup membuatkan hatinya tenang.

“Perhatian saya kini lebih kepada anak-anak, saya tidak mahu mereka merasa kekurangan ketika menyambut Syawal. Lagipun dalam menyambut hari raya, anak-anaklah yang akan teruja dan tidak sabar-sabar.

Jadi sebagai ibu, saya akan cuba menyerikan Syawal mereka sebaik mungkin” cerita Abby mengenai hari raya bersama anak-anaknya yang disambut di rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai destinasi rayanya tahun ini, pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 34 memberitahu, dia dan anak-anaknya beraya di teratak mereka terlebih dahulu.

“Kami beraya dirumah saya dahulu memandangkan ibu dan ayah saya juga ada di sini. Tetapi selepas itu, kami semua pulang ke kampung ibu di Sepang, Selangor untuk mengunjungi sanak-saudara di sana. Saya berkonvoi pulang ke Sepang bersama dengan adik-beradik yang lain” cerita Abby.

Bagaimanapun apabila bercerita tentang persiapan rayanya, Abby menegaskan dia tidaklah bersungguh dalam membeli kelengkapan raya.

Baginya, cukup sekadar bersederhana dan membeli mengikut keperluan serta kemampuan diri.

“Saya tidaklah bersungguh sangat dalam membuat persiapan hari raya. Bagi saya beli apa yang diperlukan sahaja. Selain itu saya juga seorang yang suka membeli pakaian untuk anak-anak. Jadi ada lagi pakaian baru mereka yang masih belum digunakan dan saya hanya menambah apa yang kurang sahaja” jelas Abby yang cantik berbaju kurung biru petang itu.

Tambah Abby lagi, setiap kali menjelangnya Syawal, dia tidak akan melepaskan peluang untuk berbelanja di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Ujarnya, suasana malam raya di jalan berkenaan yang meriah dengan kebanjiran warga kota menarik perhatiannya.

“Setiap tahun saya pasti akan berkira-kira untuk pergi ke sana terutamanya pada malam raya kerana suasananya yang sungguh meriah. Kita boleh tengok pelbagai gelagat orang tidak kiralah yang menjual ataupun membeli, kadang-kadang kelakar pun ada apabila melihat mereka.

Namun, jika saya pergi ke sana, saya akan pastikan ada orang yang menemani saya untuk mengawal anak-anak. Maklumlah tiga orang sekali, tidak larat untuk saya menjaga seorang diri dan untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini” jelas Abby.

Anak, Peneman, Abby, Pagi, Syawal, hati, ibu, meraikan, Syawal, gembira, berada, sisi, Abby Abadi, Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim, Maria Danisha Hakim, gembira, pagi, syawal,  tenang, Sepang, Selangor, Arbaiyah Abdul Manan, Keramat, Kuala Lumpur, Inspektor Aleeza, drama,  bersiri, Gerak Khas, berkonvoi, Sepang, adik-beradik, hiburan melayu, hiburan asia, hiburan malaysia, hiburan terkini, hiburan kl, pelakon, Penyanyi, artis melayu awek, menggembirakan, hati, ibu, meraikan, Syawal, melihat, anak, gembira, berada, sisi